Tuesday, March 20, 2012

Warkah Buat Calon SPM 2011

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Aku mulakan bicara dengan memuji Allah, tuhan yang memiliki segala sifat pencipta dan pemerintah alam ini. Tuhan yang maha suci, maha tinggi, maha bijaksana, maha memberi petunjuk dan yang mempunyai segala sifat-sifat terpuji. Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah...

Assalamu’alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh!

Menemui adindaku, calon SPM 2011...

Setelah sekian lama adinda menanti, akhirnya tibalah masa yang adinda tunggu. Setelah berbelas-belas tahun berhempas pulas di bangku persekolahan, inilah kesudahannya. Mesti adinda punyai segala macam rasa dan tak keruan menanti esok. Hehe, tak sangka sudah dua tahun berlalu sejak kekanda melalui saat itu.

Adinda yang kekanda kasihi,

Sudah tentu setiap insan di dalam dunia ini mengharapkan kejayaan setelah berpenat-lelah berusaha. Kekanda juga begitu. Teringat suatu masa dahulu, begitu kekanda mengharapkan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Memang manis rasanya sesebuah kejayaan, apatah lagi apabila perjalanan mengharungi kejayaan itu disulami dengan jerih perih dan onak duri yang bertubi-tubi. Hati terasa sangat puas dengan kejayaan itu.

Oleh itu kekanda ingin mengucapkan tahniah buat adinda yang bakal menghadapi kejayaan itu esok. Tahniah adinda, usaha adinda telah membuahkan hasil. Namun adinda, ingatlah bahawa bukanlah kehebatan atau kepandaian adindalah yang telah menyebabkan adinda berjaya. Bukan juga usaha yang bersungguh-sungguh itu yang menjadi penyebab kepada kejayaan adinda. Hanya ketentuan dan takdir Allah sahaja yang menyebabkan kejayaan itu menjadi realiti. Tidak lain dan tidak bukan hanya Allah sahaja yang mampu mengizinkan kejayaan itu.

Maka adinda, apabila telah berjaya banyakkanlah beristighfar agak syaitan tidak mudah masuk ke dalam hatimu dan membisikkan seruan-seruan supaya riak dan takabbur. Sesungguhnya kejayaan ini adalah ujian yang besar untukmu kerana ia tidak kelihatan seperti sebuah ujian. Adinda, sesebuah nikmat itu tidaklah dinamakan nikmat melainkan dengan nikmat itu bertambahnya iman kita.

Buat adinda yang merasakan diri kurang berjaya, maka redhalah. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 216:

“Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Allah yang maha bijaksana punyai cara bekerja yang tersendiri. Segala ketentuanNya bukanlah saja-saja ditetapkan, bahkan setiap ketentuanNya punyai hikmah. Namun hikmah ini bukan semuanya akan kelihatan. Maka adinda bersabarlah... Apabila Allah menarik sesuatu nikmat, sebenarnya Allah hendak memberi sesuatu yang lebih baik lagi daripada itu.Bersangka baiklah dengan Allah, bukankah rahmat Allah itu sangat banyak dan sangat luas? Berhentilah melihat kepada apa yang Allah kurniakan kepada orang lain, tetapi lihatlah apa nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Adinda, habuan duniawi hanya sebahagian kecil daripada habuan yang Allah kurniakan kepada hambanya. Di akhirat nanti, Allah akan kurniakan nikmat yang lebih hebat lagi buat hambaNya yang bersabar dengan mehnah di dunia. Insya Allah adinda akan memperolehinya, jika adinda terus beriman dan sabar. Yakinlah pada janji Allah, wahai adindaku.

Sesungguhnya persoalan menerima qada dan qadar Allah bukanlah sesuatu yang remeh bagi seorang muslim. Bahkan keredhaan terhadap qada’ dan qadar adalah soal beriman atau tidak beriman. Maka adinda, ayuhlah bermuhasabah agar kita tergolong dalam golongan yang beriman.

Adinda yang kekanda kasihi,

Kekanda ingin mengingatkan bahawa SPM bukanlah segala-galanya dalam hidup kita. Allah tidak mencipta kita untuk hidup di dunia sahaja. Adinda sudah tentu tahu bahawa kita punyai tujuan hidup yang lebih mulia daripada sekadar mengejar kesenangan dunia. Namun adinda, sekadar tahu sahaja tidak mencukupi. Buktikanlah pengetahuan adinda itu dengan amalan yang soleh, supaya apabila kita dihisab di hari kiamat kelak kita tidak terkejut melihat betapa banyaknya amalan sia-sia yang telah kita lakukan.

Adinda, kehidupan adinda akan berubah selepas ini. Tiada lagi sekolah yang memaksa adinda untuk berada dalam tarbiyah. Adinda sudah bebas untuk melakukan apa yang adinda kehendaki. Namun adinda, sebenarnya tiada orang yang sudah terlalu hebat dan tidak perlukan tarbiyah. Sedangkan Rasulullah saw yang maksum juga menerima tarbiyah daripada Allah secara berterusan sehingga ke akhirnya, tak perasankah adinda bahawa al-Quran itu turun berperingkat-peringkat atas tujuan ini? Jadi siapa kita untuk mengatakan yang kita sudah cukup menerima tarbiyyah?

Maka, pilihlah untuk bersama-sama dalam jalan ini. Meskipun adinda merasakan bahawa tarbiyah itu leceh lagi melecehkan, penat lagi memenatkan, sedarilah adinda bahawa tarbiyah itulah yang telah membuatkan adinda berada di mana adinda berada sekarang. Tarbiyah itulah yang menyebabkan adinda dapat merasakan nikmat berada di sekolah adinda. Tarbiyyah jualah yang menyebabkan Islam sampai kepada kita. Maka hina sangatlah kita andainya kita mengemukakan pelbagai alasan untuk lari daripada jalan ini. Cubalah untuk mengemukakan alasan yang adinda telah rangka itu di hadapan Allah subhanahu wa ta’ala ketika hari pembalasan kelak. Na’udzubillah!

Adinda yang kekanda kasihi,

Kekanda teringin sangat untuk melihat adinda bersama-sama di saf hadapan perjuangan membangkitkan Islam. Adinda pilihlah tempat pengajian yang akan membantu adinda untuk berada dalam saf itu. Jadikanlah maslahah dakwah dan tarbiyah sebagai faktor utama pemilihan tempat pengajian adinda. Ya, tarbiyah Allah berada di mana-mana, namun apa salahnya kita memilih yang banyak maslahah untuk adinda. Supaya adinda lebih cenderung untuk bersungguh-sungguh di jalan ini.

Adinda, sesungguhnya setiap perkataan yang baik dalam warkah ini adalah daripada Allah. Tatkala kekanda mengingatkan adinda, sebenarnya orang pertama yang kekanda peringatkan adalah diri kekanda sendiri. Semoga kita semua memperoleh keberkatan dariNya dan semoga Allah menyatukan hati-hati kita atas dasar keimanan. InsyaAllah. :-)

Sekian sahaja warkah kekanda,

Wa bilLahittaufiq wal hidayah, wassalamu’alaykum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Kekandamu,

Fathimah Azzahra binti Ainullotfi
Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS),
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.

Alumni Batch 11,
Sekolah Menengah Islam Hidayah,
Johor Bahru.

Pertubuhan IKRAM Malaysia,
Petaling Jaya,
Selangor.