Wednesday, February 15, 2012

Cerita Lama

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku mulakan bicara dengan bertasbih kepada Allah, Subhanallah, Allah yang Maha Suci lagi Maha Tinggi. Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Aku berlindung denganNya daripada Syaitan yang direjam, astaghfirullahadzim. Ya Allah lindungilah aku daripada bisikan dan godaannya yang membuatkan aku jauh dariMu.

Setelah lama jari-jemari ini berhenti menukil kata, akhirnya jari-jari itu mendapat suatu suntikan semangat yang baru. Kali ini dengan penampilan yang berbeza, insyaAllah :D

Sebenarnya saya tergerak menulis selepas terserempak dengan status Ukhti Super Saiya kita:

"Murabbi kami berkata : Kami generasi taasis, antum generasi tanzimi.

Kami menulis manusia-manusia, tetapi antum yang ditulis ini, menulis buku-buku kepada orang lain, pengalaman antum di'tulis'.

Kita tengok pun generasi taasis IM, tidak ramai yang menulis, tetapi generasi tanzim setelah itu yang banyak melahirkan karya-karya agung... Mustafa Masyhur..Ahmad Ar-Rasyid...

kerana itulah kami tak banyak menulis, kalau menulis pun, hanya untuk antum, sedangkan antumlah yang perlu menulis untuk umat ini....

Jzkk ustaz!"


Terima kasih kak :,)

Hari ini saya nak bercerita... Jeng jeng jeng...


Dulu masa saya kecik-kecik saya bersekolah di sebuah sekolah yang tersohor di mata masyarakat yang mengikuti tarbiyah. Disebut sahaja nama sekolah itu pasti akan ada mata-mata yang terbeliak dan mulut yang ternganga. "Wah, sekolah itu kah?"

Dari kecil kami diasak dengan perkataan TARBIYAH. Usrah, daurah, qiam, mukhayyam... Itu semua kami petik jari sahaja. Biasalah... Apakah yang nak dihairankan? Sekadar nasyid Ar-Ruhul Jadid, terlalu biasa kami laungkan tatkala perhimpunan. Boleh dikatakan, hampir semua wasilah tarbiyah sudah terlaksana.


Namun saya... Walaupun tak berapa nakal di sekolah, saya tak pernah dapat jadi 'budak baik gile'. Saya tak pernah ponteng segala wasilah tarbiyah. Tapi saya tetap saya. Walaupun bertahun-tahun silih berganti. Kawan-kawan saya sudah mula berbicara tentang Hassan Al-Banna dan Syed Qutb. Saya tahulah siapa mereka, cuma saya rasa... Besarnya mereka untuk dibandingkan dengan diri saya. Kawan-kawan saya sudah ke seluruh pelosok tanah air untuk mengikuti kursus tarbiyah, namun saya masih seorang kanak-kanak yang syok sendiri. Tak buat jahat sangat pun, tapi banyak je dosa yang orang tak perasan.

Ketika itu sukar sekali untuk saya percaya bahawa "Bulatan Gumbira" bisa mengubah manusia. Kerana apa yang saya lihat... Mereka yang sudah sememangnya 'baik gile' akan terus jadi 'baik gile'. Mereka yang tak berapa nakal tapi tak cukup baik akan terus kekal begitu. Dan mereka yang amat nakal saya rasa mustahil untuk berubah menjadi tak berapa nakal dan apatah lagi hendak menjadi 'baik gile'.

Saya tahu dan faham, sekolah sudah cuba bermacam cara untuk mengubah keadaan ini. Siang dan malam para asatizah tak berhenti memikirkan masalah kronik ini. Puas bermesyuarat dan berdoa. Tapi saya tidak tahu kenapa, bagai ada hijab yang menghalang proses tarbiyah itu untuk berjalan dengan sempurna. Mungkin Allah yang menetapkan begitu, atas hikmah yang mungkin tak dapat difikirkan oleh akal manusia yang terbatas ini.

Dalam masa yang sama, saya terserempak dengan blog-blog dan video-video daripada kakak-kakak dan abang-abang nun di seberang tanah air. Saya nampak kebahagiaan yang sebenarnya pada wajah mereka. Saya baca tulisan mereka, sarat dengan semangat untuk mengubah dunia. Sedang saya yang lahir dalam tarbiyah, tak punya semangat yang membara seperti itu. Hati kecil saya kadangkala menyangkal realiti dan berbisik... Ahh mungkin mereka ini berpura-pura! Astaghfirullah...



Saya tak faham. Kerana saya sudah bertahun-tahun berbulatan gumbira. Saya hidup dalam sekolah tarbiyah. Kenapa saya tak rasa bahagia seperti mereka? Kenapa saya tak punyai kekuatan untuk meninggalkan jahiliyyah berkarat yang berakar umbi dalam diri? Apa yang best sangat dalam bulatan gumbira? Eh, bolehkah daurah dan segala bagai wasilah tarbiyah itu mengubah manusia? Kenapa setelah tak terkira bilangan daurah, aku masih tetap aku???

Saya sebenarnya cemburu dengan kakak-kakak dan abang-abang itu. Lalu saya tanamkan keazaman setinggi langit untuk belajar bersungguh-sungguh dan berhasrat menyambung pelajaran di bumi asing yang telah membentuk ramai rijal. Akhirnya semangat dan keinginan itu yang menolak saya yang tak berapa rajin belajar ini untuk belajar dengan sungguh-sungguh suapaya saya bisa cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Dipendekkan cerita. Selesai SPM. Keputusan keluar. Tatkala keputusan diumumkan... Manik-manik jernih tumpah membasahi pipi.




...



Kerana terlalu gembira. Cemerlang! Selangkah hampir menuju impian. Terus saya memohon untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kursus perubatan.



Dipendekkan cerita lagi. Saya gagal mendapat tempat di luar negara. Ketika mendapat keputusan itu saya rasakan bagai suatu bebanan besar menghempap kepala saya. Seperti dunia sudah diterbalikkan. Walaupun saya ada kalanya control macho depan orang lain, tapi saya tahu yang mereka faham betapa hancur luluhnya hati ini melihat impian yang tak kesampaian. Itulah sebab saya belajar sungguh-sungguh. Mendapat keputusan yang cemerlang. Ketika itu saya rasa, apa ertinya mendapat keputusan yang cemerlang kalau impian tak kesampaian? Ketika itu saya seolah-seolah tersadung tersepak batu lalu terhantuk dengan muka menghadap bumi. Sakitnya, seperti tak nak bangun lagi dah... (Ok mungkin dah over, kalian mungkin tak paham kenapa over sangat feeling masa tu... Cuma inilah apa yang saya rasa)

Walau sakit macam mana pun, saya tetap melangkah untuk meneruskan hidup. Saya terima tawaran kedua. Melanjutkan pelajaran di ibu negara. Dengan separuh hati. Longlai. Ini bukan apa yang saya gambarkan ketika sekolah dahulu...

Minggu yang pertama bermukim di ibu negara, saya terima bertubi-tubi mesej dari pelbagai individu untuk 'usrah'. Baik daripada Jamaah Kerepek Rangup (bak kata Akh Gabbana), juga daripada mereka yang saya tak tahu entah siapa. Saya juga didatangi dengan kakak-kakak tudung labuh, yang saya tak kenal langsung, tanpa berkenalan terus meminta nombor telefon saya. Haisy cuak saya.

Saya menerima jemputan seorang akak yang begitu tegar dan bersemangat mahu berjumpa dengan saya. Dia datang ke tempat saya belajar dan bersembang-sembang petang dengan saya. Rupanya Allah dah aturkan. Inilah murabbiah saya sepanjang setahun berada di tadika universiti.

Ketika berada dalam jagaannya barulah semua perkara makes sense. Tarbiyah di sekolah, peristiwa jatuh tergolek, dan sebagainya. Bukan tak pernah saya dengar ISK. Tapi lain penangannya di sini. Bukan tak pernah dikupas tafsir al-Quran di sekolah, cuma segalanya kelihatan berbeza. Rasa yang berbeza. Kalau dulu saya rasa seperti kejayaan demi kejayaan yang saya perolehi adalah hasil usaha saya. Tapi selepas ditampar-tampar oleh suasana tarbiyah yang sedikit berbeza, baru saya sedar (bukan saya tak tahu!) rezeki kita semua Allah yang susun. Ya Allah, betapa cantiknya susunan takdirMu.

Kalau dulu saya rasa fake gila nak sebut UHIBBUKI FILLAH, sekarang saya rasa suatu perasaan yang tak dapat digambarkan apabila mengucapkannya kepada sahabat-sahabat tercinta. Kalau dulu rasa rasa bulatan gumbira itu tak mampu mengubah manusia, ternyata saya silap! Kalau tidak, takkan mungkin sekolah saya wujud!

Akhirnya saya sedar. Allah sebenarnya dah bagi apa yang saya nak, dengan cara yang terbaik... Tinggal saya sahaja yang perlu menghargainya.


Syed Qutb


Bukan salah sesiapa saya tak rasa best tarbiyah di sekolah. Sebab hidayah itu milik Allah. Mungkin Allah sengaja hijabkan dulu perasaan itu, supaya saya dapat hargai dengan sungguh-sungguh apa yang saya dapat selama setahun itu. Nah, bak kata Syed Qutb (sekarang sudah berani berbicara tentang dia. ;D)
"Oleh sebab itulah aku hidup di bawah naungan Al-Quran dengan hati yang tenang tenteram dan di sana aku melihat tangan kekuasaan Allah mengendalikan segala peristiwa dan segala perkara."
(Muqaddimah Fi Zilalil Quran)


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmat tarbiyah buat diri yang hina dina ini.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan nikmat mampu untuk rasa bahawa kenikmatan tarbiyah itu adalah suatu nikmat.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan jari-jari ini menulis. Semoga ada manfaatnya buat manusia sekalian alam.

Kuala Lumpur.

3 comments:

Nur said...

timah~
good job~
mabru,ya ukhti!
terus menulis untk ummah~

Nur said...

*mabruk
typo error..
:p

nemO said...

:') feel yg same. sangat3. kdg2 t'fikir, knp dulu tak terkesan, tak tertolak dgn bnd2 yg terhidang dpn mate? bile skrg dgr balik bnd2 yg penah dgr dulu, rase mcm bdk fail yg tgh repeat yr. tp betullah, aturan mcm ni lah yg terbaik, just nk nggu lambat atau cpt utk nmpk hikmah dy.

hopefully we've all grown up now ^^

nak balik n jumpe :|