Tuesday, February 19, 2013

Hammasah yang pudar

Bismillah.

Pernah saya rasa amat mustahil untuk seseorang berubah, dari kebiasaan dirinya kepada menjadi seseorang yang lebih baik.

Kemudian baru saya faham, ahhh, tidak mustahil, sesiapa juga boleh berubah! Malah saya juga menjadi saksi perubahan individu yang saya sayangi.

Pernah juga saya rasa, mustahil ada orang yang akan futur dari jalan dakwah yang indah lagi berkat ini! Barangkali yang futur itu, tak pernah merasa sebenar-benar manisnya berada dalam jalan tarbiyah ini.

Namun ternyata sangkaan saya silap.

Ketika hammasah sedang membara, kita rasa seolah kita akan kekal selamanya dalam jalan yang penuh berkat ini. Kita melihat orang yang jatuh seolah-olah amat rugi dan ketinggalan. Silap. Bila terasa diri berada terlalu tinggi di puncak, itulah sebenarnya bibit-bibit kejatuhan merudum. Jatuh dan terus jatuh. Orang yang hebat dalam dunia dakwah, juga boleh jatuh dan pergi tak kembali.

Maka amat benarlah, hati manusia itu amatlah berbolak balik sifatnya, walaupun manusia menyangka bahawa dia akan tetap istiqamah.

Duhai diriku
Hatimu milik Allah
Yang mengarahkannya kepada kebaikan adalah Allah
Yang membalikkannya dan menjunamkanmu dlm kefuturan juga adalah Allah.

Duhai diriku
Tatkala kau mendengar kisah kefuturan orang lain
Bukanlah untuk kau terasa bangga dengan keadaanmu
Atau menghukum kelemahan mereka
Tapi untuk kau bersiap siaga
Barangkali, kau juga akan diuji sebegitu rupa!

Duhai diriku
Saat lemahnya semangatmu sedang berbisa
Sakit rasanya bukan untuk kau mengaduh dan mengeluh
Bukan juga menuding jari mencari salah siapa
Bukan pula menjadi alasan untuk lari dan menyendiri.

Bila engkau jatuh menjunam
dan masih mampu terasa sakitnya
bersyukurlah, kerana itu tandanya kau masih hidup.
Masih hidup
untuk bermuhasabah dan beristighfar
menarik nafas dan menyusun langkah
untuk bangkit, lebih tinggi dari dalam keadaan sebelum kejatuhan itu!

No comments: